Hii King Chiong: Majulah Miri Menyasarkan Untuk Menyelesaikan Masalah Rakyat Tanpa Motif Politik
31.05.2015--Ketua pusat khidmat masyarakat Majulah Miri Dato Hii King Chiong berkata bahawa kejayaan bergantung kepada komitmen dan usahasama satu pasukan dan bukannya seorang individu.
Hii memberitahu media semasa pertemuan hari ini dengan jawatankuasa exco Persatuan Pesara Kerajaan Sarawak (PPKS) Miri bahawa Majulah Miri sentiasa sedia dan ikhlas membantu mereka yang memerlukan dengan setinggi-tinggi kemampuannya, tanpa mengira lokasi dan tanpa motif politik.
Beliau amat bimbang dengan keadaan buruk rumah persatuan PPKS Miri dan berharap kerajaan negeri dan wakil rakyat dengan seriusnya akan meneliti dan menyelesaikan masalah kehidupan rakyat agar mereka dapat menikmati suasana hidup yang lebih baik.
“Rumah persatuan PPKS Miri yang terletak di Piasau Camp merupakan lokasi penting untuk ahli-ahli persatuan bergaul dan beramah mesra. Ia seharusnya mendapat perhatian dan penjagaan daripada wakil-wakil rakyat dan kerajaan negeri. Hari Raya akan menjelang tidak lama lagi dan saya tidak sanggup melihat ahli-ahli tua menunggu selama 14 tahun lagi. Oleh itu, saya telah memutuskan untuk membantu dan menanggung kos pembaikan supaya mereka dapat menikmati tempat pertemuan yang lebih baik.”
Hii berkata sejak pengasasan, Majulah Miri sentiasa memberi bantuan bagi meningkatkan taraf hidup rakyat tanpa mengharapkan sebarang balasan. Walaupun sesetengah orang menyalahfaham perkhidmatan tulus ikhlas Majulah Miri, mereka tidak pernah berasa kecewa kerana mereka hanya memainkan peranan mereka sesuai dengan falsafah perkhidmatan pusat khidmat masyarakat. Peningkatan dalam taraf hidup rakyat adalah galakan dan ganjaran yang paling baik bagi Majulah Miri.
“Sesetengah orang mungkin melihat saya sebagai seorang tokoh awam tetapi pada hakikatnya, saya, Hii King Chiong, ialah seorang warga Sarawak yang biasa sahaja seperti anda semua. Oleh kerana kita semua dari negeri yang sama, kita harus saling menyokong dan membantu dan bukannya membuat tuduhan yang tidak benar mengenai orang lain dan hanya mengambil berat akan kepentingan diri sendiri.”
Hii menegaskan bahawa kemajuan pembangunan tempatan dan peningkatan taraf hidup rakyat banyak bergantung kepada usahasama semua pihak dan bukannya seorang individu atau sebuah organisasi. Jika semua orang dapat mengetepikan perbezaan di antara satu sama lain dan memberi tumpuan kepada usaha berkhidmat kepada rakyat, Miri pastinya syurga untuk bermastautin dan bekerja.
Beliau menyeru anak-anak muda yang penuh aspirasi supaya menyertai keluarga besar Majulah Miri. Beliau juga berharap semua orang boleh mengutamakan sikap tidak mementingkan diri dan menjadikan penjagaan kepentingan rakyat matlamat utama mereka.
[[{"type":"media","view_mode":"media_large","fid":"1928","attributes":{"alt":"","class":"media-image","height":"360","typeof":"foaf:Image","width":"480"}}]]