Hii King Chiong: Pusat Baru PIBAKIS Bakal Menyediakan Suasana Pembelajaran Berkualiti

14.12.2014--Dato Hii King Chiong, pengerusi jawatankuasa pembinaan bangunan pusat baru PIBAKIS di bawah Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Miri, berkata bahawa menyediakan ruang pembelajaran yang baik untuk kanak-kanak istimewa adalah satu tanggungjawab sosial. Selagi kita menjunjung semangat masyarakat penyayang, tiada apa yang mustahil.

Hii memberitahu pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan hasil kutipan derma oleh Pertubuhan Muzik Miri, “Tujuan pusat baru PIBAKIS adalah untuk menyediakan suasana pembelajaran yang lebih berkualiti untuk kanak-kanak yang kurang bernasib baik, dengan harapan agar mereka terus melangkah berani dalam kehidupan ke arah masa depan yang lebih cerah di bawah jagaan dan bimbingan profesional dan sukarelawan terlatih.”

Beliau berterima kasih kepada masyarakat atas sokongan dan kasih sayang mereka terhadap pembinaan bangunan pusat baru PIBAKIS. Walaupun dana pembinaan masih menghadapi kekurangan sebanyak RM2.4 juta, beliau percaya bahawa pusat baru tersebut mampu mengatasi segala kesukaran dan akan selesai dibina dengan sokongan padu daripada masyarakat.

Hii menegaskan bahawa kanak-kanak istimewa bukannya beban masyarakat. Kita tidak boleh mendiskriminasikan mereka. Kita harus menghulurkan bantuan dengan sepenuh hati demi menerangi hidup mereka dan mendorong mereka meneruskan perjalanan hidup dengan sikap positif yang kukuh.

Beliau berharap ibu bapa kanak-kanak istimewa boleh berfikiran terbuka dan bukannya malu atau takut akan tekanan sosial sehingga mengabaikan masa depan anak-anak. PDK telah ditubuhkan untuk membantu mereka. Hii berkata bahawa PDK adalah sebuah organisasi amal yang diasaskan untuk membantu kanak-kanak istimewa memperoleh harapan dan meningkatkan kemampuan pembelajaran mereka. Kasih sayang dan sokongan daripada para pekerja yang penyayang di pusat-pusat pemulihan, bersama-sama dengan usaha ibu bapa akan memastikan perkembangan dan masa depan anak-anak yang lebih baik.

Beliau berpuas hati dengan progress pembinaan dan merayu kepada orang ramai yang penyayang agar terus memberi sokongan yang penuh. Ini akan memastikan pembinaan disiapkan secepat mungkin dan seterusnya suasana pembelajaran yang lebih baik untuk kanak-kanak.

Pertubuhan Muzik Miri, dengan usaha mulianya berjasa kepada masyarakat, hari ini menyerahkan sumbangan hasil kutipan derma RM80,000 kepada PDK untuk tujuan dana pembinaan pusat baru PIBAKIS.

Pertubuhan Muzik Miri baru-baru ini menganjurkan ‘Piala Cabaran Nyanyian Cina Elit Amal Presiden PBK Hii Teck Yun’ dan ‘Piala Cabaran Nyanyian Cina Elit Kanak-Kanak Pengerusi Ting Pang Soon’ untuk menggalakkan keharmonian dan perpaduan sosial menerusi pertandingan menyanyi di samping mengumpul dana bagi pembinaan pusat baru PIBAKIS sebagai salah satu aktiviti amalnya.

Pertubuhan muzik berjaya mengumpul derma sebanyak RM80,000 bagi dana pembinaan daripada masyarakat yang murah hati. Sumbangan hasil kutipan derma ini telah diserahkan kepada presiden PIBAKIS Miri Chiam Yun Chaw dan majlis tersebut telah disaksikan oleh Dato Hii King Chiong, pengerusi jawatankuasa pembinaan.

Di bawah pengawasan teliti jawatankuasa pembinaan, pusat baru PIBAKIS telah selesai 68% dan dijangka akan siap sepenuhnya pada bulan Julai 2015.

Pembinaan tingkat atas pusat baru kini rancak dijalankan. Bahan-bahan bumbung telah sampai beberapa hari yang lalu. Majlis menaikkan rasuk akan diadakan bulan ini dan dirasmikan oleh Dato Hii King Chiong.

[[{"type":"media","view_mode":"media_large","fid":"1631","attributes":{"alt":"","class":"media-image","height":"202","typeof":"foaf:Image","width":"480"}}]]