Hii King Chiong: Penyelesaian Masalah Rakyat Ialah Ganjaran Terbaik Dan Bukannya Untuk Menuntut Kredit
26.06.2015--Pengasas Majulah Miri Dato Hii King Chiong menegaskan bahawa jika wakil rakyat telah mendahulukan rakyat, Majulah Miri tidak perlu diwujudkan langsung.
Hii memberitahu wartawan bahawa beliau sudahpun mengetahui Jambatan Perpaduan Tudan bakal dinaik taraf kepada sebuah jambatan konkrit dua lorong pada 2 tahun yang lalu. Beliau juga kembali ke jambatan tersebut bersama-sama dengan Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Miri Ting Sie Lok dan mengumumkan berita baik kepada para penduduk kampung.
“Projek menaik taraf Jambatan Perpaduan Tudan yang menghubungkan Tudan Fasa 5 dan Desa Pujut Fasa 2 merupakan salah satu daripada isu keprihatinan utama pusat khidmat saya. Ia bermula dari ketiadaan dan kami terus mengikuti perkembangannya. Saya bukan hendak menunjuk-nunjuk tetapi saya tidak dapat menyembunyikan kegembiraan saya untuk para penduduk kampung kerana ini adalah jambatan yang diperoleh secara susah payah. Kini kami berjaya menunaikan janji 2 tahun yang lalu untuk penaiktarafan kepada jambatan konkrit dua lorong yang kekal.”
Beliau menegaskan bahawa tujuan berkhidmat kepada rakyat adalah untuk membantu menyelesaikan masalah dan meningkatkan kualiti hidup mereka dan bukannya untuk menuntut kredit.
Beliau berharap wakil rakyat dan dermawan tidak terlalu menekankan ‘pulangan yang setara’ bagi usaha yang dilakukan. Mata rakyat akan jelas melihat dan memberitahu siapa sebenarnya yang memberi sumbangan.
Dia gembira melihat pelaksanaan projek menaik taraf jambatan tersebut di mana semua usaha beliau tidak akan tersia-sia. Ini memastikan para penduduk Tudan boleh menikmati infrastruktur yang lebih baik di bawah keprihatinan kerajaan.
Sebelum itu, JKR hanya boleh membina jambatan kayu disebabkan oleh dana yang terhad. Penaiktarafan kepada jambatan Bailey kemudiannya menjadi kenyataan apabila Hii menyumbang bantuan kewangan untuk projek tersebut.
JKR bertanggungjawab untuk pembinaan jambatan dan juga bekalan tar dan sebahagian daripada batu kerikil dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM250,000. Bahan-bahan bagi pembinaan asas struktur dan bahan-bahan lain yang diperlukan telah ditaja oleh Hii.
Selepas jambatan Bailey dibuka, JKR membawa berita baik sekali lagi. Di bawah usaha dan permohonan oleh Hii, kerajaan negeri telah meluluskan pembinaan sebuah jambatan konkrit dua lorong dan para penduduk kedua-dua kawasan dapat menikmati infrastruktur yang lebih baik tidak lama lagi.