Hii King Chiong: Penjaja Sebagai Barisan Depan Ekonomi, Kejayaan Ekonomi Bergantung Kepada Penjaja
07.03.2015--Dato Hii King Chiong berkata para penjaja dan peniaga adalah kumpulan besar yang penting dan mempunyai pengaruh besar dalam merangsang pasaran aktif dan ekonomi negara. Para penjaja adalah barisan depan ekonomi dan kejayaan ekonomi banyak bergantung kepada mereka.
Hii telah dijemput sebagai tetamu kehormat Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Persatuan Penjaja-Penjaja Bersatu Miri. Beliau tidak dapat menghadiri majlis tersebut dan diwakili oleh Encik Hii Teck Yun untuk menyampaikan ucapannya.
Beliau berkata tahun 2015 penuh dengan cabaran dengan penurunan harga minyak dan pendapatan negara, kenaikan harga barangan dan pelaksanaan Cukai Barang & Perkhidmatan (CBP) pada bulan April. Para penjaja juga merupakan pengguna dan kalangan isi rumah akan menghadapi tekanan kewangan selanjutnya.
Keadaan pasaran tidak kelihatan baik dan ada yang menggambarkannya sebagai krisis. Walau bagaimanapun, beliau berharap semua orang tidak akan panik kerana krisis adalah gabungan bahaya dan peluang. Di mana ada bahaya, di situ adanya peluang. Para penjaja yang bijak mesti segera membuat perubahan dan penyesuaian strategi perniagaan mengikut aliran pasaran dan mengubah krisis menjadi peluang.
Hii berkata bahawa tahun 2015 adalah tahun yang penuh dengan harapan dan juga penuh dengan cabaran. Beliau bersedia untuk menghadapi cabaran bersama-sama dengan semua orang. Beliau akan melakukan yang terbaik dalam memberi bantuan selagi ia dalam keupayaannya.
“Saya berharap persatuan akan berani menghadapi realiti dan aktif mencari peluang perniagaan melalui perubahan dalam strategi, usahasama dan diversifikasi perniagaan untuk mewujudkan peluang dan mengatasi masalah.”
Beliau berkata persatuan penjaja merupakan organisasi yang mewujudkan rangkaian hubungan yang penting untuk ahli-ahli. Selain memperjuangkan kebajikan dan kepentingan ahli-ahli, ia juga memberi maklumat perniagaan yang efisien dan menggalakkan interaksi di kalangan ahli-ahli. Ahli-ahli harus menyesuaikan diri kepada perubahan dengan segera dan sentiasa menaiktaraf diri untuk bersedia menghadapi cabaran.
Beliau menyeru kepada rakan-rakan penjaja yang mempunyai sumber kewangan yang kukuh agar menyertai perkhidmatan sosial untuk memberi sokongan dan bantuan kepada golongan yang kurang bernasib baik.
Akhir sekali, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua yang bekerjasama dengan Pusat Khidmat Masyarakat Hii King Chiong dalam membantu menyelesaikan masalah ahli-ahli. Beliau berharap ahli-ahli akan terus bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Miri dan kerajaan tempatan dalam menjadikan Miri salah satu bandaraya yang paling bersih dan mesra.
[[{"type":"media","view_mode":"media_large","fid":"1772","attributes":{"alt":"","class":"media-image","height":"360","typeof":"foaf:Image","width":"480"}}]]