“Jambatan Persahabatan” Yang Menghubungkan Tudan Dan Desa Pujut Akan Dinaik Taraf Kepada Jambatan Konkrit

20.06.2015--Di bawah bantuan dan usaha gigih pengasas Majulah Miri Dato Hii King Chiong, jambatan Bailey dua lorong yang menghubungkan Tudan Fasa 5 dan Desa Pujut Fasa 2 akan sekali lagi dinaik taraf kepada jambatan konkrit tidak lama lagi agar penduduk kampung dapat menikmati infrastruktur yang lebih baik.

Hii kembali ke jambatan tersebut hari ini bersama dengan ahli-ahli pasukannya dan mengumumkan berita baik kepada penduduk kampung. Penduduk kampung Tudan menjemput Hii untuk merasmikan majlis melancarkan pembinaan jambatan konkrit dan juga mendirikan satu papan tanda 'Terima Kasih' di tepi jambatan sebagai penghargaan terhadap beliau.

Jambatan Bailey yang memberi kemudahan kepada para penduduk kedua-dua kawasan itu dibuka secara rasmi pada 22 Jun 2013. Pada tahun itu, Pusat Khidmat Masyarakat Hii King Chiong (HKCSC) telah menerima permintaan daripada penduduk kampung dan segera mengambil segala tindakan yang perlu untuk merealisasikan pembinaan jambatan Bailey itu.

Sebelum itu, Tudan Fasa 5 dan Desa Pujut Fasa 2 dihubungkan oleh sebuah jambatan kayu kecil sepanjang 30 meter yang hanya boleh digunakan oleh pejalan kaki dan penunggang motosikal. Pemandu kenderaan motor terpaksa menggunakan Jalan Lutong untuk membuat laluan ke kawasan Desa Pujut yang agak menyusahkan.

Bagi menyediakan penduduk dengan kemudahan laluan terus, Majulah Miri berusaha gigih dan berjaya mencapai persetujuan dengan para penduduk kedua-dua kawasan dan pihak berkuasa yang berkenaan untuk membina jambatan Bailey sebagai langkah sementara dengan rancangan bakal menaik taraf kepada jambatan konkrit.

Pada masa itu, Majulah Miri juga menaik taraf jalan sepanjang setengah kilometer dan lampu jalan telah dipasang selepas pembesaran jalan supaya penduduk dapat menikmati infrastruktur jalan yang lebih baik.

Hii amat gembira dengan penaiktarafan kepada jambatan konkrit dan berharap para pengguna akan menghargai “Jambatan Persahabatan” (nama rasminya Jambatan Perpaduan Tudan) hasil titik peluh semua pihak berkenaan.

Untuk mengurangkan kecurian dan kemalangan, Majulah Miri turut membantu membersihkan rumput rumpai di sisi-sisi jalan. Selain menambah baik persekitaran hidup kedua-dua kawasan tersebut, kebolehlihatan yang lebih jelas juga akan membantu membendung jenayah di kawasan itu.

Hii berterima kasih atas sokongan dan bantuan daripada semua pihak yang berkenaan yang bekerjasama dalam menjadikan penaiktarafan jambatan satu kenyataan untuk faedah orang ramai. Beliau berharap para penduduk kedua-dua kawasan itu akan terus bantu-membantu antara satu sama lain dan memupuk semangat 1Malaysia.

[[{"type":"media","view_mode":"media_large","fid":"2051","attributes":{"alt":"","class":"media-image","height":"360","typeof":"foaf:Image","width":"480"}}]]