Hii King Chiong Terus Membantu Menyelesaikan Masalah Rakyat Dengan Kerja-kerja Menaik Taraf Sistem Perparitan

14.11.2015--Pengerusi Parti Rakyat Bersatu (UPP) Piasau dan pengasas Majulah Miri Dato Hii King Chiong dan Jurutera bahagian Miri-Bintulu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Law Wee hari ini membuat pemeriksaan ke atas masalah perparitan di beberapa kawasan. Lebih banyak kerja menaik taraf akan bermula tidak lama lagi dengan anggaran kos kira-kira RM500,000.

Kawasan-kawasan yang dilawati ialah Jalan Jee Foh 4 Krokop, Lereng Bukit, Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hua Lutong dan Kampung Pulau Melayu 2D. Sistem perparitan di empat kawasan tersebut akan dinaik taraf kepada parit konkrit yang diharapkan akan menyelesaikan masalah banjir semasa hujan lebat.

Projek menaik taraf sistem perparitan dengan kos RM180,000 di Jalan Jee Foh 4 Krokop akan bermula tidak lama lagi dan ia akan melibatkan pembinaan parit konkrit sepanjang 150 meter, dengan lebarnya tiga kaki dan dalamnya tiga kaki.

JPS juga akan menaik taraf sistem perparitan di Lereng Bukit yang juga merupakan kawasan yang sering dilanda banjir kilat. Parit konkrit sepanjang 100 meter, selebar dua kaki dan sedalam dua kaki, akan dibina dengan anggaran kos sebanyak RM60,000.

Kumpulan itu juga memeriksa perparitan di hadapan SJK(C) Chung Hua Lutong yang tidak pernah dinaik taraf lebih 50 tahun. Longkang di situ dipenuhi dengan rumpai dan pengumpulan lumpur yang menghalang pengaliran air. Air hujan akan mengalir ke dalam kawasan sekolah dan menyebabkan masalah banjir.

Hii sebelum ini menerima aduan daripada ibu bapa pelajar dan hari ini melawat kawasan itu bersama dengan Law untuk lebih memahami situasi sebenar. JPS akan memulakan kerja menaik taraf tidak lama lagi untuk membina parit konkrit sepanjang 200 meter dengan anggaran kos sebanyak RM160,000.

Law menjelaskan bahawa terdapatnya hakisan parit tepi jalan dan retakan pada turap jalan. Masalah akan menjadi lebih serius dan meluas sekiranya sistem perparitan tidak dinaik taraf.

Berkaitan satu longkang terakhir di Kampung Pulau Melayu 2D, ia akan dinaik taraf tidak lama lagi kepada parit konkrit sepanjang 60 meter dengan kos RM50,000.

Kerja-kerja menaik taraf sistem perparitan di keempat-empat kawasan tersebut akan bermula tidak lama lagi dan dijangka siap dalam tempoh sebulan dan diharapkan akan menyelesaikan masalah banjir.

Sementara itu, semasa lawatan pemeriksaan Hii, penduduk di Lereng Bukit datang berjumpa dan meminta beliau untuk membantu membina parit konkrit di kawasan perumahan mereka.

Law berkata bahawa parit tidak dibina di antara rumah-rumah dan kawasan kediaman itu lebih rendah daripada parit utama, maka banjir kilat akan berlaku apabila hujan.

Tambahnya, JPS akan menjalankan kerja kaji ukur untuk menganggar kos projek, panjang parit dan perkara-perkara lain yang berkenaan sebelum memulakan pembinaan.

Di samping itu, kumpulan itu juga membuat lawatan pemeriksaan ke atas sistem perparitan yang baru dinaik taraf di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lutong dan lumpur yang terkumpul di dalam parit juga telah dibersihkan.

[[{"type":"media","view_mode":"media_large","fid":"2396","attributes":{"alt":"","class":"media-image","height":"360","typeof":"foaf:Image","width":"480"}}]]