Hii King Chiong : Perkhidmatan Kepada Rakyat Tidak Berpaten Dan Perkhidmatan Yang Bersungguh-sungguh Harus Dipuji

20.10.2015--Pengerusi Parti Rakyat Bersatu (UPP) Piasau dan pengasas Majulah Miri Dato Hii King Chiong berkata perkhidmatan kepada rakyat bukan hak eksklusif kepada sesiapa atau mana-mana organisasi dan perkhidmatan yang bersungguh-sungguh harus dipuji dan dihormati.

Beliau menegaskan mustahaknya berkhidmat kepada rakyat secara bersungguh-sungguh dengan kepentingan mereka dalam hati dan bukannya mencuri kredit atau mengelirukan rakyat dengan memperkecilkan orang lain dan meninggikan diri sendiri.

Beliau berasa kecewa dengan halangan berulang kali terhadap pemberian perkhidmatan daripada Majulah Miri dan tuduhan palsu yang bukan sahaja menyakiti ahli-ahli pasukan khidmat tetapi juga mengelirukan rakyat.

“Baru-baru ini mereka yang telah meminta bantuan daripada Majulah Miri memberitahu saya bahawa mereka telah ditegur kerana meminta bantuan daripada organisasi yang dianggap tidak rasmi dan diberi amaran agar meminta bantuan melalui saluran rasmi. Ini merupakan kata-kata yang kurang elok.”

Beliau menekankan bahawa jika parti politik atau wakil rakyat telah menjalankan tugas mereka dengan baik sambil mendengar secara teliti suara rakyat, biar buat banyak dan cakap kurang, Majulah Miri tidak perlu wujud langsung kerana tiada sesiapa yang perlu datang untuk meminta bantuan.

Beliau berasa kasihan dengan mereka yang telah diberi teguran dan menegaskan bahawa jika salahnya beliau memberi perkhidmatan kepada rakyat, beliau berharap individu yang tidak senang hati itu memberi bimbingan yang sewajarnya.

Beliau menegaskan betapa pentingnya melangkah masuk ke kalangan rakyat di peringkat akar umbi untuk memahami kesusahan mereka dan seterusnya membantu menyelesaikan masalah mereka dan bukannya tidak berbuat apa-apa tetapi hanya tahu membuat kritikan dan tuduhan palsu demi kepentingan diri sendiri.

Hii berkata bahawa tidak kira betapa tingginya pangkat atau kedudukan, kita mesti merendahkan diri dalam usaha berkhidmat kepada rakyat dan mendengar secara teliti keperluan sebenar rakyat. Orang-orang yang hanya pandai bercakap besar, berbuat sedikit dan bersombong tidak akan dapat mendengar suara benar rakyat.

Katanya, Majulah Miri telah menyelesaikan banyak isu masyarakat sejak penubuhannya dan kejayaannya adalah hasil ‘kepercayaan’. Jika wakil rakyat telah menjalankan tugas dengan baik dan sentiasa mendahulukan rakyat, Majulah Miri tidak perlu tampil ke depan untuk membantu menyelesaikan masalah rakyat yang terkumpul berdekad-dekad lamanya.

“Walaupun saya seorang peniaga, saya memahami kepentingan sikap bersyukur dan memberi sumbangan kepada masyarakat. Ini juga merupakan ajaran mendiang bapa saya. Oleh itu, selagi ia dalam keupayaan saya, saya tidak akan mengabaikan atau menolak sebarang permintaan untuk bantuan.”

Hii menekankan bahawa falsafah perkhidmatannya ialah menyelesaikan masalah dan meningkatkan kualiti hidup rakyat tanpa mengharapkan sebarang balasan atau pujian. Beliau percaya bahawa persahabatan dan sokongan sejati dapat diperolehi melalui keikhlasan. Tambahnya, pemahaman yang menyeluruh mengenai sesuatu masalah adalah penting dalam mencari cara penyelesaian yang berkesan.

Beliau berharap semua tuduhan palsu akan berakhir dan mengalu-alukan usahasama semua orang dalam berjuang untuk keamanan, kestabilan dan kemakmuran bandaraya Miri.