Hii King Chiong Menggesa Semua Pihak Agar Membendung Prejudis Untuk Kebaikan Masyarakat Cina

09.03.2016--Pengerusi Parti Rakyat Bersatu (UPP) Piasau Dato Hii King Chiong berkata pecahan antara kumpulan etnik dan parti-parti politik telah menjejaskan dengan seriusnya perpaduan masyarakat Cina. Beliau berharap semua pihak boleh membendung prejudis, mengetepikan permusuhan dan bekerjasama demi masa hadapan yang lebih baik.

Juga pengasas Majulah Miri, Hii berkata demikian dalam ucapannya malam ini di Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina yang dianjurkan oleh SJK Chung Hua Lutong Miri.

Hii berkata beliau mempunyai perasaan istimewa untuk SJK Chung Hua Lutong dan sentiasa mengambil berat terhadap perkembangan dan keperluan sekolah.

“Saya telah melakukan tanggungjawab saya untuk SJK Chung Hua Lutong tetapi berasa kecewa menghadapi penindasan politik. Saya menghadapi tekanan yang besar menjejakkan kaki di sekolah dan tidak berani meluahkan sepatah kata apabila saya membantu menyelesaikan masalah. Pada hakikatnya, saya bukannya bimbang akan diri sendiri tetapi sebaliknya saya bimbang bahawa pihak lain yang tidak bersalah akan dibabitkan atau dikutuk oleh kerana saya. Saya tidak ingin melihat berlakunya perkara sedemikian.

Beliau berharap dapat memperoleh pemahaman yang lebih baik dengan para pejuang pendidikan Cina melalui majlis ramah mesra tersebut dan memberi lebih banyak sumbangan unutk menambah baik suasana pembelajaran demi kebaikan para pelajar berbilang kaum.

Hii menegaskan betapa pentingnya usaha bersungguh-sungguh berkhidmat kepada rakyat dan mendengar suara rakyat secara teliti dengan rendah hati. Jika seseorang menganggap dirinya lebih unggul dan berkuasa, ianya mustahil untuk betul-betul memahami pemikiran sebenar rakyat dan sebarang perkhidmatan adalah sia-sia sahaja.

Beliau percaya pendidikan melebihi politik dan pendidikan tidak boleh dipermainkan oleh ahli-ahli politik.

“Walaupun saya Pengerusi UPP Piasau, saya tidak pernah memberi bantuan dalam identiti seorang tokoh politik. Perkhidmatan tulus ikhlas ialah bersungguh-sungguhnya mendahulukan rakyat tanpa mengharapkan sebarang balasan. Ini adalah cara Hii King Chiong melakukan sesuatu perkara, pada masa lalu, kini, dan pada masa hadapan, saya tidak akan berubah.”

Beliau menjelaskan bahawa untuk mencapai agenda dan tujuan peribadi oleh sesetengah individu, masyarakat Cina telah kehilangan terlalu banyak. Beliau berharap pada masa hadapan, ahli-ahli politik bersungguh-sungguh menunaikan janji-janji yang dibuat dengan berjuang untuk hak-hak dan kepentingan rakyat dan bukannya hanya melaungkan slogan dan membuat janji kosong sahaja.

“Walaupun saya seorang ahli perniagaan, saya merendahkan diri dan melangkah masuk ke kalangan rakyat. Wakil-wakil yang dipilih oleh rakyat seharusnya lebih memahami. Harus diingati wakil rakyat tidak akan berjaya tanpa sokongan rakyat. Rakyat adalah BOS yang sebenar.”

Hii berkata Majulah Miri akan terus mendukung falsafah perkhidmatannya walaupun terpaksa menghadapi cabaran dan halangan. Ini adalah kerana Majulah Miri tidak akan menghiraukan tuduhan dan kritikan palsu. Asalkan rakyat hidup senang dan gembira, Majulah Miri sudah cukup berpuas hati.

“Sesungguhnya tiada kawan dan musuh yang selama-lamanya, kita hanya perlu membuka hati kita.” Hii menekankan pentingnya belajar melepaskan genggaman tangan agar dapat memeluk dunia dan mengalu-alukan sebarang pandangan dan cadangan bernas kerana khidmat masyarakat panjang perjalanannya.

Beliau juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada Majlis Bandaraya Miri (MBM) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Miri-Bintulu atas perkhidmatan cekap mereka dalam menaik taraf sistem perparitan di hadapan SJK Chung Hua Lutong untuk menyelesaikan masalah banjir dan menyediakan infrastruktur yang lebih baik.

[[{"type":"media","view_mode":"media_large","fid":"2600","attributes":{"alt":"","class":"media-image","height":"319","typeof":"foaf:Image","width":"480"}}]]