Hii King Chiong Mengetuai Rombongan Kunjungan Sambil Belajar Untuk Manfaat Kanak-kanak Istimewa

19.11.2015--Dalam usaha untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Miri, Penasihat Kehormat Sepanjang Hayat Dato Hii King Chiong & isterinya Datin Ting Hua Eng baru-baru ini mengetuai rombongan kunjungan hormat ke Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Istimewa Taipei Happy Mount. Tujuan kunjungan adalah untuk memperoleh maklumat terkini dan mengetahui lebih lanjut mengenai kaedah-kaedah pemulihan demi manfaat kanak-kanak istimewa.

Dato dan Datin Hii turut diiringi oleh Presiden Persatuan Ibu Bapa Kanak-Kanak Istimewa Miri (PIBAKIS) Chiam Yun Chaw, Pegawai Bertanggungjawab PDK Chiong Bee Lan, Timbalan Setiausaha PDK Chai Chin Lee dan kaunselor Siew Tick Chai.

Lawatan ke Taiwan itu telah dianjurkan oleh kaunselor Siew Tick Chai, dengan matlamat utamanya memahami dan mengetahui lebih lanjut mengenai teknik-teknik pemulihan untuk membantu kanak-kanak istimewa dan meningkatkan kualiti perkhidmatan dan operasi PDK Miri.

Setibanya di Taiwan, rombongan itu disambut mesra oleh Presiden Lions Mingzhi Chen Jian-fu dan Presiden Pengasas Huang Fu-chang daripada Kelab Lions Antarabangsa Daerah 300B1 yang turut menyertai kunjungan PDK ke Taipei Happy Mount.

Pengerusi jawatankuasa pembinaan bangunan Dato Hii King Chiong berkata bahawa ia adalah satu tanggungjawab sosial dan rasa hati nurani untuk menyediakan kanak-kanak istimewa dengan suasana pembelajaran yang lebih baik. Hii berharap orang ramai tidak mendiskriminasikan kanak-kanak istimewa dan sebaliknya patut menghulurkan bantuan untuk mendorong mereka meneruskan perjalanan hidup dengan sikap positif yang kukuh ke arah masa depan yang lebih cerah.

Hii, juga selaku penasihat kehormat sepanjang hayat PDK, berkata dalam temu bual bahawa beliau merasai pelbagai emosi sepanjang lawatan ke Taiwan dan berasa para ibu bapa harus bersyukur kerana kanak-kanak diberi penjagaan yang sangat baik di Taipei Happy Mount. Tanpa usaha dan sumbangan mulia para pekerja sosial, masa depan kanak-kanak istimewa besar kemungkinannya menghadapi kegelapan.

Beliau menegaskan bahawa kanak-kanak istimewa bukannya beban masyarakat. Orang-orang yang normal adalah kumpulan yang lebih bernasib baik kerana kita mampu menjaga diri kita sendiri. Bagi mereka yang kurang bernasib baik, mereka tidak mempunyai kuasa untuk memilih sama sekali.

Hii berkata bahawa kasih sayang dan sokongan ibu bapa tiada gantinya dalam menjamin kesejahteraan kanak-kanak. Apa yang mereka mahu sangatlah mudah, iaitu agar ibu bapa mereka tidak mengabaikan atau meninggalkan mereka. Sokongan dan bantuan masyarakat, tidak kira betapa besarnya, tidak akan dapat menggantikan kasih sayang ibu bapa.

Beliau berharap ibu bapa kanak-kanak istimewa boleh berfikiran terbuka dan bukannya malu atau takut akan tekanan sosial sehingga mengabaikan masa depan anak-anak. Ini juga merupakan sebab utama PDK ditubuhkan.

Hii berkata bahawa PDK adalah sebuah organisasi amal yang diasaskan untuk membantu kanak-kanak istimewa memperoleh harapan dan keyakinan di samping meningkatkan kemampuan pembelajaran mereka. Kasih sayang dan sokongan daripada para pekerja yang penyayang di pusat-pusat pemulihan, bersama-sama dengan usaha ibu bapa akan memastikan perkembangan dan masa depan anak-anak yang lebih baik.

Hii melahirkan rasa kecewa kerana tiada usaha yang dibuat oleh wakil rakyat setempat terhadap bantuan dana pembinaan pusat baru PIBAKIS PDK Miri. Sebagai wakil masyarakat Cina dalam kerajaan, seseorang perlu sentiasa memberi tumpuan kepada isu-isu kebajikan. Jika tidak, kata pepatah bahawa
“mempunyai seorang wakil dalam kerajaan akan memudahkan urusan perkara” adalah satu kenyataan yang menyesatkan.

“Selepas lawatan itu, saya sedar ada banyak lagi ruang yang boleh ditambah baik di PDK. Penyediaan penjagaan yang asas tidak akan mencukupi. Teknik-teknik spesifik mesti digunakan supaya kanak-kanak boleh mempelajari ilmu-ilmu menjaga diri dan juga mengukuhkan keyakinan mereka dalam kehidupan.”

Hii berkata bahawa ia sememangnya hasrat terbesar ibu bapa untuk melihat anak-anak mereka membesar dengan sihat. Setiap ibu bapa inginkan bayi yang sihat dan cerdik. Walau bagaimanapun, sesetengahnya mangsa takdir dan nasib dengan kecacatan fizikal dan mental dan keadaan sebegitu turut memberi impak dan kesan yang besar kepada keluarga.

Beliau amat memahami perasaan ibu bapa kerana usaha memupuk dan menjaga kanak-kanak istimewa bukan satu tugas jangka pendek tetapi satu tanggungjawab dan tekanan seumur hidup. Oleh itu, pendidikan khas memainkan peranan yang sangat penting dalam mempersiapkan kanak-kanak istimewa untuk peluang yang lebih baik dan menjalani kehidupan dengan sepenuhnya.

“Apabila sesuatu masalah tidak dapat dielakkan, kita mesti memilih untuk menerimanya dan bukannya menggunakan cara yang tidak betul untuk menafikan nilai kewujudan mereka. Ini kerana saya sentiasa percaya bahawa jika kita bekerja keras, kita pasti boleh menambah baik kehidupan kanak-kanak istimewa. Ini juga merupakan sebab utama saya memberi sokongan penuh kepada PDK.”

Hii berkata bahawa sewaktu lawatannya ke Happy Mount, beliau berasa sedih apabila mengetahui sesetengah ibu bapa telah secara beransur-ansurnya berputus asa dengan anak-anak mereka atau berkecenderungan menggunakan Happy Mount sebagai “tapak lambakan” kanak-kanak kurang upaya. Gangguan fizikal atau mental bukanlah sesuatu yang boleh dikawal oleh kanak-kanak tersebut dan oleh itu mereka tidak boleh diabaikan semata-mata kerana mereka mempunyai kecacatan. Kekecewaan harus dijadikan kekuatan untuk memberi penjagaan sempurna kepada kanak-kanak untuk membantu mereka memperoleh semula harapan dan keyakinan terhadap kehidupan.

Beliau berjanji untuk terus memberi tumpuan kepada keperluan PDK termasuklah memperkenalkan pendidikan dan peralatan khas supaya kanak-kanak istimewa dapat menerima pendidikan dan latihan pemulihan yang sesuai. Bantuan dan sokongan daripada orang ramai sama pentingnya dalam membantu kanak-kanak ini mempersiapkan diri untuk cabaran yang lebih besar pada masa depan.

Sementara itu, beliau juga berharap Happy Mount dan PDK boleh menjalin hubungan rapat dan berkongsi maklumat penting dan teknologi perubatan demi kepentingan golongan yang kurang bernasib baik dalam masyarakat.

[[{"type":"media","view_mode":"media_large","fid":"2401","attributes":{"alt":"","class":"media-image","height":"426","typeof":"foaf:Image","width":"480"}}]]

[[{"type":"media","view_mode":"media_large","fid":"2402","attributes":{"alt":"","class":"media-image","height":"320","typeof":"foaf:Image","width":"480"}}]]