Hii King Chiong : Majulah Miri Akan Terus Berkhidmat Kepada Rakyat Walaupun Menghadapi Halangan

05.08.2015--Pengasas Majulah Miri Dato Hii King Chiong berkata Majulah Miri akan terus mendukung falsafah perkhidmatannya dalam mendahulukan rakyat walaupun terpaksa menghadapi cabaran dan halangan.

Selepas lawatan pemeriksaan ke atas projek sistem perparitan hari ini, Hii memberitahu pemberita bahawa daerah mengundi Krokop dahulunya dianggap ‘kawasan hitam’ Barisan Nasional (BN) dan kubu kuat pembangkang. Bagaimanapun, beliau berpendapat bahawa pasti ada punca di sebaliknya dan percaya Krokop tidak akan menjadi ‘kawasan hitam’ jika wakil rakyat telah memberi perhatian yang sewajarnya kepada masalah-masalah penduduk Krokop.

Beliau berkata sejak beberapa tahun lalu, Majulah Miri telah turun padang bekerja keras mengenal pasti dan berusaha menyelesaikan masalah rakyat tetapi malangnya terdapat sesetengah pihak yang cuba menyekat perkhidmatan Majulah Miri kepada masyarakat untuk kepentingan diri mereka.

Hii menekankan bahawa Majulah Miri berkhidmat kepada rakyat tanpa motif politik dan sepatutnya mendapat sokongan daripada kerajaan dan wakil rakyat. Jika semua orang boleh bersatu dalam berkhidmat kepada rakyat, semua masalah rakyat terkumpul selama beberapa dekad pastinya boleh diselesaikan secara beransur-ansur.

Beliau berkata pengundi di Krokop beralih menyokong pembangkang kerana mereka kecewa dengan prestasi wakil rakyat BN. Beliau menegaskan bahawa tiada sebabnya rakyat tidak memberi sokongan jika wakil rakyat telah mendengar permintaan mereka dan mengambil tindakan sewajarnya.

Hii berkata walaupun menghadapi keterbatasan, ia adalah falsafah perkhidmatan dan komitmen Majulah Miri untuk membantu golongan yang memerlukannya dengan sedaya upaya.

Beliau menjelaskan bahawa terdapat terlalu banyak masalah di kawasan Krokop yang terkumpul bertahun-tahun lamanya di mana lebih banyak masa diperlukan untuk menyelesaikannya. Majulah Miri akan sentiasa melakukan yang terbaik untuk membantu menyelesaikan masalah-masalah itu.

Beliau berkata masalah di kawasan Krokop bagaikan jantung dengan saluran-saluran darah yang tersumbat. Masalah sumbatan akan dapat diselesaikan apabila saluran-saluran darah (parit-parit) ke jantung dibersihkan.

Hii berharap penduduk Krokop akan bersabar sementara Majulah Miri terus memberi tumpuan kepada kawasan tersebut dan membantu menyelesaikan pelbagai masalah penduduk.

Pada masa yang sama, beliau juga percaya masalah sistem perparitan di Krokop akan diselesaikan tidak lama lagi di bawah kerjasama semua pihak yang berkenaan.

Sementara itu, dalam membalas komen wakil rakyat sebelum ini bahawa seseorang itu perlu membuat kerja rumah sebelum memberi perkhidmatan kepada rakyat, Hii berkata Majulah Miri hanya menumpukan perhatian terhadap usaha memberi perkhidmatan dan bantuan apabila menerima permintaan daripada rakyat dan justeru itu tiada kerja rumah yang perlu dibuat.
 

[[{"type":"media","view_mode":"media_large","fid":"2145","attributes":{"alt":"","class":"media-image","height":"360","typeof":"foaf:Image","width":"480"}}]]