Hii King Chiong : Lawatan Ke Lutong Kerana Keperluan Rakyat, Bukan Kerana Pilihan Raya Negeri

21.03.2016--Pengasas Majulah Miri dan pengerusi Parti Rakyat Bersatu (UPP) Piasau Dato Hii King Chiong menjelaskan bahawa lawatannya ke Lutong adalah kerana permintaan rakyat untuk bantuan dan tiada kena-mengena dengan politik.

Hii berkata demikian kepada media semasa lawatan pemeriksaannya hari ini ke Gelanggang Bola Keranjang Lutong bersama dengan ahli-ahli pasukannya.

Katanya, beliau datang untuk membantu menyelesaikan masalah rakyat, bukan untuk pilihan raya negeri. Pada masa yang sama, beliau juga berjanji akan melakukan yang terbaik dalam memberi bantuan untuk menyelesaikan masalah rakyat.

Beliau menegaskan akan sentiasa mendahulukan rakyat dan melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah-masalah rakyat sama ada melalui Majulah Miri atau UPP.

“Falsafah perkhidmatan kami sangatlah ringkas. Di mana sahaja bantuan diperlukan, kami akan tampil ke depan. Kami akan melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah-masalah rakyat.”