Hii King Chiong : Buat Sumbangan Ikhlas & Jangan Menyimpang Daripada Misi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina

06.03.2017--Pengerusi Lembaga Kehormat Tetap SM Pei Min Miri Dato Hii King Chiong berkata pendidikan Cina merupakan akar budaya Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) pula memastikan budaya diwariskan dari generasi ke generasi. Gabungan usaha semua pihak akan memastikan pembangunan berterusan pendidikan Cina bagi mewariskan dan menggalakkan budaya Cina.
Beliau berkata akar budaya memastikan kewujudan etnik dan ia adalah penting untuk menguasai akar budaya kerana martabat etnik datang daripada budayanya.
 
Hii berkata selama 56 tahun sejak pengasasannya, SM Pei Min Miri berpegang tegas kepada dasar sekolah Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Dong Zong) yang mengutamakan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan menggunakan Bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantar. Ia adalah sebuah SJKC tradisional yang terus mengutamakan kepentingan pelajar. Di bawah jagaan dan sokongan pendidik Cina yang penuh bersemangat, sekolah tersebut terus berkembang maju seterusnya menggalakkan dan memperkembangkan budaya Cina.
 
Beliau berharap di bawah kepimpinan Pengerusi Lembaga SM Pei Min Miri Khor Ooi Long, sekolah itu akan mencapai kejayaan yang lebih besar. Beliau menasihati lembaga pengarah supaya mengendalikan sekolah dengan baik, bersikap rendah hati dan ikhlas dan tidak menyimpang daripada misi asas sekolah agar dihargai dan dihormati.
 
“Saya amat berbesar hati kerana mendapat kepercayaan daripada lembaga pengarah untuk berkhidmat sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Bangunan SM Pei Min. Bagi saya, pendidikan Cina adalah sama seperti kerjaya dan keluarga saya. Ia memerlukan penjagaan rapi dan tumpuan sepenuhnya untuk melangkah lebih jauh lagi.”
 
Hii berkata tarian singa adalah salah satu sumber kutipan dana utama untuk SJKC. Beliau memuji usaha lembaga pengarah, kakitangan dan pelajar SM Pei Min yang telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM1.25 juta tahun ini dan juga berterima kasih terhadap sumbangan murah hati pendidik Cina dan orang ramai.
 
“Saya berharap SM Pei Min bijak menggunakan wang hasil titik peluh yang melibatkan banyak usaha dan keringat serta kemurahan hati orang ramai. Apa yang diambil daripada masyarakat perlu dikembalikan kepada masyarakat. Selain daripada melaporkan jumlah dana yang diperolehi, kita juga mesti menerangkan secara jelas kepada masyarakat bagaimana setiap dana diperuntukkan dan digunakan bagi mempertingkatkan akauntabiliti dan ketelusan dalam pengurusan sekolah.”
 
Di samping itu, beliau juga berharap wakil rakyat boleh memimpin melalui teladan dan berusaha untuk mengetahui keperluan SJKC dan bukannya melakukan kerja-kerja superfisial atau mencuri kredit.
 
Hii berharap kerajaan negeri akan meneruskan usaha mulia Allahyarham Tan Sri Adenan Satem dan memberi peruntukan untuk membantu SM Pei Min menjayakan misinya dalam pembinaan bangunan sekolah baru dan penaiktarafan suasana belajar yang sedia ada.
 
Beliau berjanji akan melakukan yang terbaik dalam memberi bantuan untuk pembinaan bangunan sekolah baru supaya projek dapat disiapkan secepat mungkin demi kepentingan para pelajar.
 
“Ramai orang salah faham tentang saya dan beranggapan saya membantu orang lain untuk kepentingan diri. Ini kerana mereka tidak benar-benar memahami saya. Berkenaan dengan pendidikan Cina, saya hanya berani mengatakan saya telah berkhidmat untuknya. Saya tidak berani mengatakan saya pernah menyumbang atau berkorban untuknya, kerana saya adalah tidak layak.”
 
Hii mengeluh bahawa hidup tidaklah sempurna dan seseorang itu harus berani melakukan apa yang betul tanpa rasa bimbang apa yang orang lain fikirkan.
 
Katanya, beliau mendapat pengalaman yang tidak ternilai daripada pilihan raya negeri yang lalu dan tidak menyalahkan sesiapa pun atas kekalahannya. Tambahnya, mungkin segala yang beliau lakukan tidak mencukupi untuk mendapat sokongan penuh dan beliau menghormati keputusan pengundi. 
 
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan dan para penyokong yang mendampingi saya sepanjang perjalanan ini. Saya benar-benar menghargai bantuan, sikap tidak mementingkan diri dan kebolehpercayaan anda semua.”
 
Apabila ditanya mengenai kritikan di media sosial, Hii tersenyum sambil berkata bahawa orang-orang yang memahami anda tidak memerlukan sebarang penjelasan, tetapi tiada jumlah penjelasan yang akan memadai untuk memuaskan hati orang-orang yang tidak mengenali anda. “Ia adalah mustahil untuk mencapai kesempurnaan dalam kehidupan dan asalkan anda mempunyai hati nurani yang jelas dan telah mencuba yang terbaik, anda tidak patut menyalahkan diri sendiri kerana tidak terdaya melakukan dengan lebih baik lagi.”
 
Hii turut melahirkan penghargaan beliau terhadap kritikan tersebut yang membolehkannya mengenali kelemahannya dan mengenal pasti bidang-bidang penambahbaikan.
 
Beliau menekankan bahawa tindakan yang akan dapat membuktikan anda dan tiada perlunya untuk memberi penjelasan kepada mereka yang tidak menyukai atau mempercayai anda.
 
[[{"type":"media","view_mode":"media_large","fid":"2950","attributes":{"alt":"","class":"media-image","height":"360","typeof":"foaf:Image","width":"480"}}]]