Hii King Chiong Berterima Kasih Kepada Timbalan Perdana Menteri Yang Prihatin, Menggesa Unit-Unit Menggunakan Peruntukan Dengan Bijak

30.04.2016--Calon langsung Barisan Nasional (BN) Pujut Dato Hii King Chiong berterima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana mendengar dan memenuhi hasrat rakyat dengan kelulusan peruntukan kepada dua sekolah dan Persatuan Penjaja Pasar Malam Kawasan Saberkas Miri. Beliau menggesa unit-unit yang menerima peruntukan agar menggunakannya dengan bijak bagi menyumbang ke arah pendidikan dan pembangunan di Miri.

Hii hari ini memberitahu wartawan bahawa prinsip asas dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat ialah berusaha mendekati rakyat, berkongsi kebimbangan dan menyelesaikan masalah mereka. Beliau berkata, seseorang itu harus mendekati masyarakat akar umbi untuk mengerti sepenuhnya pemikiran dan perasaan dalaman rakyat.

Beliau berkata peruntukan yang diluluskan oleh Ahmad Zahid bukan sahaja akan meringankan beban kewangan unit-unit yang menerimanya tetapi juga telah membuktikan komitmen BN dalam mendahulukan rakyat. “Selagi kita bersatu padu dan menggalakkan keharmonian kaum sebagai matlamat utama, pembangunan masa depan negara semestinya lebih cerah dan maju.”

Hii mengakui bahawa dirinya pun tidak sempurna dan terdapat perkara-perkara yang beliau tidak dapat lakukan. Bagaimanapun, beliau menekankan akan sentiasa melakukan yang terbaik untuk berkhidmat kepada rakyat.

Beliau berkata lawatan rumah selepas hari penamaan calon menunjukkan bahawa masih terdapat banyak masalah yang belum diselesaikan dan telah terkumpul beberapa dekad lamanya terutamanya di Pujut dan Krokop. Penduduk berasa tidak berdaya dan beliau turut memahaminya. Oleh itu, beliau berharap rakyat akan memberinya peluang untuk berkhidmat dan bergerak ke hadapan bersama rakyat pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 yang akan datang, demi berjuang untuk lebih banyak hak dan kepentingan penduduk Miri dan meningkatkan kualiti kehidupan dan persekitaran.

Hii menegaskan bahawa perpaduan, kerjasama dan sikap tidak mementingkan diri sendiri pasti akan mencipta masa depan yang lebih stabil dan baik.