Cawangan-cawangan UPP Memberi Sokongan Penuh Kepada Hii King Chiong

15.04.2016--Dato Hii King Chiong telah meletak jawatan daripada Parti Rakyat Bersatu (UPP) dan akan berdiri sebagai calon langsung Barisan Nasional (BN) di kerusi Pujut. Keempat-empat cawangan UPP di Miri telah menyatakan sokongan penuh kepada Hii.

Sejajar dengan syarat undang-undang dan teknikal yang terkandung dalam perlembagaan BN, Hii terpaksa meletak jawatan daripada UPP kerana beliau telah dinamakan oleh pengerusi BN Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem sebagai calon langsung BN di kerusi DUN Pujut. Christopher Sim telah mengambil alih sebagai pemangku pengerusi UPP Piasau.

Sim berkata walaupun Dato Hii King Chiong telah meletak jawatan daripada UPP, ahli-ahli parti tetap menganggap beliau sebagai pemimpin parti.

Beliau menambah, sebagai parti mesra BN, UPP juga telah menubuhkan jawatankuasa tindakan pilihan raya bagi memberi sokongan dan berkempen untuk Hii.

Beliau berkata selain daripada menyokong Hii, mereka juga akan memberi sokongan kepada calon-calon BN di dua kerusi DUN yang lain.

Pengerusi UPP Senadin kaunselor Keith Chin melahirkan rasa terima kasih kepada Ketua Menteri kerana menamakan Dato Hii King Chiong untuk bertanding di kerusi Pujut. Chin dan ahli-ahli UPP Cawangan Senadin berikrar akan memberi sokongan penuh kepada BN.

Chin berkata mereka akan mengadakan mesyuarat ringkas dengan Jawatankuasa Pusat UPP untuk membincangkan kerja-kerja kempen.

Beliau berkata UPP Piasau, Pujut dan Senadin selama ini bekerja keras untuk berkhidmat kepada rakyat.

Beliau menjelaskan bahawa Majulah Miri telah berkhidmat kepada rakyat selama hampir lima tahun dan berharap akan diberi peluang membantu rakyat untuk tempoh lima tahun lagi.

Pengerusi UPP Pujut kaunselor Bruce Chai berkata penukaran Hii ke konstituensi Pujut tidak menjadi isu kerana beliau sentiasa berkhidmat kepada rakyat di seluruh bandaraya ini.

Beliau menekankan bahawa semua ahli daripada keempat-empat cawangan UPP di Miri iaitu cawangan Piasau, Pujut, Senadin dan Bekenu akan memberi sokongan penuh kepada Dato Hii King Chiong untuk memastikan kemenangannya dalam pilihan raya negeri akan datang.

[[{"type":"media","view_mode":"media_large","fid":"2648","attributes":{"alt":"","class":"media-image","height":"360","typeof":"foaf:Image","width":"480"}}]]